Sebesar mana dan betapa hebatnya diri kita pasti ada yang tercalit satu ruang yang mesti dijaga rapi agar tidak diketahui orang. Betapa busuknya hati kita dan buruknya akhlak kita pasti dikunci rapi untuk mengelak dari diaibkan, apatah lagi diketahui orang lain.
Tandas tempat kita sering kunjungi di waktu-waktu terdesak. Banyak lagi tempat lain yang kita kunjungi sepanjang hidup kita. Bersihnya tandas menjadikan kita lebih peka terhadap keperluan kebersihan dimana-mana jua. Baik tandas, baik rumah, baik kereta, baik pejabat, tempat kerja, baik surau, baik masjid. Membersihkan tandas kita sendiri memang itulah yang sebaiknya.
Kita juga selalu bersihkan diri selepas buang air kecil/besar, kecuali waktu kita kecil, dan mungkin waktu kita sakit, terlalu tua dan uzur(juga bila kita sudah nyanyuk...). membersihkan tandas samalah lebih kurang membersihkan hati juga dari sebarang kekotoran yang terpalit pada diri kita. Kalau malu dan takut dilihat tak macho, kita boleh tutup pintu tandas supaya orang tak nampak. Kalau orang nampak sekalipun apa nak dihairankan. Biarlah kita dilihat sebagai seorang pencuci jamban dari dilihat sebagai seorang yang pengotor.
Tempat yang bersih juga cermin kepada jiwa yang bersih. Jiwa mesti bersih dalam ibadat, dalam kerja, dalam berniaga, dalam aktiviti sosial, juga bersih dalam politik, bersih dalam apa jua. Cuma masalahnya kadang-kadang kita terlupa menjaga kebersihan. Hati yang bersih wajar bersyukur waktu dapat rezeki, juga waktu rezeki sedikit merosot. Waktu senang dapat apa yang kita mahu kita bukan main gembira, waktu tak dapat apa yang kita nak kita mula maki-maki, syak yang bukan-bukan, seolah-olah hanya diri kita saja yang layak mendapat rezeki dari Allah SWT.
Begitu juga dengan kuasa politik, memang kita sedia maklum, Allah bukan ada agreement dengan sesiapa dari kita untuk kekal berkuasa. Bila dah turun atau diturunkan, kita redha sahaja. Jangan kita terlalu biasa memaki-hamun tuhan dan manusia. Kita bukan sehebat manapun disisiNYA.
Hati yang bersih bebas dari syak-wasangka buruk terhadap orang lain, sentiasa sabar dalam apa-apa jua dugaan, tidak melabelkan orang lain dengan sebagai itu dan ini. Hati yang bersih tidak melemparkan tuduhan yang tidak baik keoada sesiapa sama ada kepada orang lain dan juga kenalannya sendiri.
Saya pernah dengar kata orang tua-tua bahawa tabiat membersihkan longkang(atau tandas) akan menjadikan seseorang itu tidak sombong dan angkuh. Tidak tahulah sejauh mana kebenarannya tetapi ramai jugalah pekerja-pekerja Majlis Tempatan yang tidak sombong apabila saya berbual-bual dengan mereka. Wallahu'alam.
Betapa cantiknya Islam, mengajar kita dari sekecil-kecil perkara seperti mencuci tandas hinggalah kepada urusan yang besar seperti hal-hal pemerintahan sebuah negara, tapi peliknya bila diri kita sendiri lebih cenderung dan masih menganggap Sains dan Teknologi yang menemui segalanya tanpa menyedari yang Al-Quranlah segala isi kandung Alam yang diciptaNya, cuma kita yang malas mengkaji dan memahami apa yang tersirat.
No comments:
Post a Comment