Advertising

Nikon

Tuesday, October 29, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 4 : Istana Raja Muda di Teluk Intan, Perak)

Sebaik saja kunjungan saya ke pekan lama Papan dan Istana Raja Billah selesai, perjalanan saya yang seterusnya ialah menuju ke Teluk Intan. Sebenarnya saya sudah lama tidak ke bandar Teluk Intan yang terkenal dengan mercu tanda menara condongnya. Sebuah bandar lama yang berusia lebih 120 tahun, namun nasib bandar ini jauh lebih baik berbanding pekan Papan dan pekan-pekan seusia dengannya. Perjalanan saja dari Batu Gajah ke Teluk Intan hanya dengan menumpang sebuah lori sawit yang sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Teluk Intan yang kebetulan melalui jalan lama menghubungkan diantara Ipoh-Batu Gajah-Gopeng dan seterusnya ke Kampar. Jalan yang menjadi kegunaan utama bagi mana-mana kenderaan berat bagi menggelak daripada menggunakan lebuhraya bertol.

Bandar Teluk Intan bukan saja istimewa kerana menara condongnya malah kedudukannya yang pernah menjadi pelabuhan transit bagi kapal-kapal yang berlabuh untuk mengangkut bahan-bahan mentah seperti bijih timah, getah dan hasil-hasil hutan satu ketika dahulu. Fakta ini diperkuatkan lagi dengan kewujudan laluan keretapi yang menghubungkan di antara bandar Slim River ke Anson Bay(Teluk Intan) yang kini sudah tidak digunakan lagi. Laluan yang dilalui oleh lori yang saya tumpangi itu menyelusuri jalan-jalan lama disekitarnya merupakan ladang-ladang sawit. Perjalanan yang mengambil masa selama lebih satu jam itu akhirnya membawa saya terus ke pusat bandar Teluk Intan. Pemandu lori tersebut memberhentikan lorinya dihadapan menara condong. Ini benar-benar satu penghormatan bagi saya sebagai seorang backpacker.

Sempat bergambar di hadapan pintu masuk menara Condong

Tiba saja di perkarangan menara saya terus meminta bantuan seorang anggota penguatkuasa yang kebetulan berada disitu untuk mengambil gambar saya di hadapan menara condong. Sesudah itu, saya tanpa berlengah terus masuk ke dalam menara condong itu untuk menyaksikan keunikan seni bina lama di dalam menara tersebut. Semasa berada di dalam menara tersebut terdapat beberapa gambar yang digantung di ruangan dalam menara tersebut perhatian saya teralih kepada satu gambar yang menunjukkan sebuah istana lama yang kelihatan usang dan terbiar, malah keadaannya jauh lebih teruk berbanding Istana Raja Billah yang saya lawati sebelum itu. Saya cuba bertanya kepada seorang penjaga menara condong disitu dan dia memberi tahu yang bangunan di dalam gambar tersebut adalah bekas istana yang pernah menjadi kediaman pewaris takhta kerajaan negeri Perak satu ketika dahulu dan Istana tersebut dikenali sebagai 'Istana Raja Muda'.

 Gambar Istana Raja Muda yang terdapat di dalam Menara
Condong Teluk Intan

Saya cuba bertanyakan kepada seorang Pakcik tua yang menjaga pintu masuk Menara Condong disitu, dan maklumat yang saya dapati dari pakcik tua tersebut beliau menyatakan bahawa istana tersebut telah mula dibina sejak sebelum merdeka lagi, yakni pada tahun 1920-an. Menurut beliau lagi sultan perak ke-31 iaitu Sultan Abdul Aziz Shah adalah orang pertama yang mendiami istana tersebut semasa beliau menjawat jawatan sebagai Raja Muda Perak kerana telah disyaratkan ketika itu bahawa sesiapa saja yang menjadi pewaris takhta mestilah bersemayam di Teluk Intan sebelum membolehkan beliau layak untuk di masyhurkan sebagai pengganti sekiranya Sultan telah mangkat. Saya bertanya lagi kepadanya adakah keadaan istana itu benar-benar seperti yang digambarkan di dalam gambar itu dan beliau menjawab memang benar kerana istana itu mulai terbiar selepas DYTM Raja Dr. Nazrin Shah dilantik sebagai Raja Muda Perak pada tahun 1988 selepas kemangkatan Almarhum Raja Ahmad Sifuddin Shah Ibni Sultan Idris Shah.

Permandangan Istana dari Jalan Syed Abu Bakar yang melintasi
kawasan istana tersebut

Sekeliling kawasan istana juga kelihatan terbiar

Bahagian hadapan pintu masuk utama istana

Selepas mendapat maklumat mengenai istana lama tersebut saya segera meninggalkan Menara Condong untuk ke istana lama tersebut. Namun saya berkesempatan mendapatkan alamat dimana lokasi istana itu berada. Seterusnya saya menaiki teksi untuk ke istana lama itu, perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Istana ini terletak di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan, Perak berhampiran Sekolah Convent dan St Anthony Teluk Intan. Keluasan kawasan Istana ini dikatakan lebih dari 1 ekar. Daripada apa yang di beritahu oleh pakcik yang menjaga Menara Condong Teluk Intan tersebut pihak Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pernah mengeluarkan arahan untuk meruntuhkan bangunan istana berkenaan tetapi tidak dapat dilaksanakan lagi diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Bahagian dalam istana yang sudah di tumbuhi belukar

Salah satu pintu menghubungkan bahagian
lain dalam istana

Tangga dalam istana menuju ke bilik di tingkat atas

Ketika saya berada disana apa yang saya lihat keadaan bangunan istana dan kawasan sekelilingnya amatlah teruk sekali, boleh dikatakan apa yang saya lihat dengan mata dan kepala saya sendiri lebih teruk dari apa yang saya lihat di gambar dalam menara condong sebelum itu. Memandangkan Istana Raja Muda ini sudah lebih 20 tahun tidak berpenghuni menjadikan bangunan istana tersebut kelihatan buruk. Saya cuba memasuki ke dalam bangunan istana tersebut dan apa yang saya dapati keadaan di dalamnya ternyata begitu teruk sekali. Banyak struktur-struktur dalam istana tersebut sudah menyembah bumi, bumbung istana pula kebanyakkannya sudahpun runtuh dan hanya tinggal dinding, tembok dan tiang istana saja yang masih berdiri kukuh sebagai menunjukkan bahawa istana lama ini masih wujud.

Kini hanya tinggal struktur dinding menunjukkan yang istana
ini benar-benar wujud

Laluan masuk utama ke dalam istana

Di dalam hati kecil saya terdetik perasaan kesal dan saya bertanya kepada diri saya, "mengapa binaan yang penuh dengan nilai sejarah ini perlu dibiarkan sedemikian rupa?". Bagi saya jika pihak istana Perak tidak mahu lagi menggunakan dan mengurus serta menyelenggarakan bangunan istana ini lebih baik istana ini diserahkan saja kepada pihak Jabatan Antikuiti, setidak-tidaknya istana ini boleh dijadikan muzium untuk tatapan generasi muda bagi menunjukkan betapa tingginya nilai sejarah yang pernah terlakar di bangunan ini. Bagi saya bangunan istana usang ini sepatutnya menjadi kebanggaan khususnya bagi penduduk di Teluk Intan dan rakyat negeri Perak amnya. Saya berharap agar selagi tinggalan istana lama ini masih ada ianya perlu dibaikpulih kerana masyarakat perlu mengetahui bahawa istana ini merupakan sebahagian daripada sejarah negeri Perak.

No comments:

Post a Comment