Advertising

Nikon

Tuesday, August 6, 2013

Raya Dahulu, Raya Sekarang...

Assalamualaikum semua dan Salam menyambut Eidul Fitri bagi tahun 1434 Hijrah

Alhamdulillah, kita dapat jua diberikan peluang untuk menyambut Eidul Fitri pada tahun ini, kembali kita kepada fitrah. Daripada berpuasa kepada tak berpuasa (bukan bermakna sehari lepas Eidul Fitri kita tak boleh puasa!...). 

Penghijrahan daripada hati yang penuh tompok kepada hati yang bersih dan daripada keadaan yang kurang takwa kepada keadaan yang lebih bertakwa (mudah-mudahan). Sebab itulah kita memberi ucapkan Minal A'idil wal Faizin iaitu "kepada mereka-mereka yang kembali (kepada fitrah) dan kepada mereka-mereka yang berjaya" Moga-moga kita tergolong dalam golongan-golongan tersebut... Dan kalau mahu yang lebih manis lagi kita ucapkan "Taqaballahu minna wal minkum", yang bererti 'Semoga Allah menerima amal dan ibadah kita'.

Kalau hendak kita bandingkan raya dahulu dan sekarang, pastilah perbezaannya begitu ketara... Dahulu orang bakar lemang, sekarang orang banyak yang beli lemang. Dahulu orang melawat saudara mara dan jiran tetangga, sekarang orang terpacak di hadapan televisyen di rumah sambil menonton filem mahupun telemovie ataupun ke keluar bersama rakan-rakan untuk menonton filem-filem yang ditayangkan di pawagam-pawagam berhampiran (atau rancangan raya bersama artis di saluran-saluran TV...). 

Dahulu lagu-lagu raya sangat senang nak dihafal sebab senikatanya mudah-mudah dari yang tua hinggalah yang muda (sebab itu lagu raya dahulu masih bermandiri di jiwa dan sanubari kita sehingga sekarang), tetapi sekarang lagu-lagu raya dah serupa macam puisi sastera dalam buku teks Komsas di sekolah menengah yang satupun tak susah nak dihafal (pasal ayat berbunga-bunga dan canggih sangat).

Dahulu kuih bahulu, kuih bangkit, kerepek pisang, kerepek bawang, tempeyek, batang burok. Sekarang biskut-biskut macam Almond London dan Chocolate Chips pun orang dah tak pandang. Ha!, lagi satu dulu kuih dibuat, sekarang kuih tunjuk!. Saya diantara generasi-generasi yang membesar pada era 1980-an dan awal 90-an yang sempat dapat merasa zaman-zaman nostalgia yang boleh dianggap indah bagi diri saya walaupun tak pernah merasa zaman nostalgia raya klasik tulen, tapi saya pernah juga merasa bakar lemang, kacau dodol, kacau serunding (sekarang ni sebenarnya aktiviti sebegini masih wujud lagi tapi cuma di kampung-kampung itupun untuk tujuan komersial...). 

Pada saya, apa yang lebih penting ialah kita menghargai peluang keemasan yang kita ada. Kemeriahan yang kita nikmati semasa kita beraya khususnya ketika bersama keluarga tercinta, kebahagiaan yang kita rasai semasa kita meraikan Hari Raya bersama sanak saudara (walaupun kos sara hidup kita makin meningkat...). Jadi, besarlah harapan saya sebagai generasi baru ini untuk sama-sama berjuang bagi mengekalkan tradisi dan kesejahteraan yang sedia ada. 

Ketupat diletak di atas para 
Rendang diletak di bawah titi 
Andai ada tersilap bahasa 
Maaf dipinta menyusun jari 

Adat jauh kata mengata 
Adat dekat puji memuji 
Andai ada tersilap kata 
Maaf dipinta sepuluh jari 

Sungai disusur sepanjang sehari 
Dalam gelap menangkap ikan 
Hamba menyusun sepuluh jari 
Salah dan silap harap maafkan 

Selamat Hari Raya Eidul Fitri 
Maaf zahir dan batin dari saya 
Jashamsulnizam Md. Jani

Selamat Hari Raya Eidul Fitri kepada mereka-mereka yang kembali (kepada fitrah) dan kepada mereka-mereka yang berjaya, serta bersama-sama kita mensedekahkan Al-Fatihah kepada insan-insan tersayang mahupun rakan-rakan kita yang telah kembali ke Rahmatullah.

Sekian dari saya, Wassalam.

No comments:

Post a Comment