Advertising

Nikon

Wednesday, October 16, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 3 : Istana Raja Billah & Masjid Papan)

Dalam kunjungan saya ke pekan Papan baru-baru ini terdapat sebuah lokasi bersejarah yang sememangnya begitu sinonim dengan kewujudan pekan lama ini. Dalam 'homework' yang saya lakukan mengenai pekan Papan ini saya berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang sebuah monumen lama yang telah berdiri kukuh lebih seabad di pekan ini. Saya juga telah berjaya menghubungi salah seorang waris pemilik istana ini untuk memohon kebenaran beliau untuk melawat ke istana lama ini. Sebuah monumen atau bangunan lama yang menjadi mercu tanda kepada kewujudan pekan lama ini. Tempat tersebut ialah 'Istana Raja Billah'. 

Semasa saya berjalan-jalan melihat-lihat keadaan disekeliling pekan Papan saya bersama-sama dengan jurupandu saya iaitu Pak Ijam saya sempat bertanyakan kepada salah seorang penduduk di pekan tersebut, disebabkan tiada apa-apa papan tanda yang menunjukkan arah ke Istana Raja Billah disitu. Beliau seorang wanita berbangsa cina yang masih muda remaja mungkin dalam lingkungan umur awal 20-an (Sejujurnya saya suka melihatnya kerana dia sangat comel, hehehe...). Wanita cina tersebut tanpa berlengah menjawab pertanyaan saya dengan fasihnya beliau berbahasa melayu, "Awak nak ke Istana Raja Billah ke?, Oh ya, kamu nampak jalan di sebelah rumah saya ni, dan rumah besar itu, disitulah tempatnya." Dan dia sempat bertanya kepada saya datang dari mana lalu saya menjawab yang saya datang dari Kuala Lumpur untuk melihat kesan-kesan tinggalan sejarah di situ dan saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Wanita itu kemudian melemparkan senyumannya kepada saya(Bagaikan nak gugur jantung saya...) dan Pak Ijam yang berada di sebelah saya hanya ketawa kecil melihat gelagat saya dihadapan wanita muda cina yang comel itu.

Saya mengikuti arah seperti yang ditunjukkan oleh wanita tersebut ternyata jalan tersebut tidak jauh dari rumahnya, hanya dalam jarak sejauh 70 meter dengan melalui sebuah rumah kecil yang juga dipercayai sudah ditinggalkan. Menuju ke lokasi istana lama tersebut membuatkan saya berasa bernasib baik kerana tiudak seperti kebanyakkan kenalan-kenalan saya yang pernah ke istana tersebut selalunya pintu masuk ke kawasan istana tersebut tertutup rapat dan dirantai dengan mangga berkunci. Namun saya berasa bertuah kerana kehadiran saya disana seakan-akan di ketahui kerana pintu pagar yang berzink biru di kawasan istana tersebut terbuka luas seolah-olah seperti menyambut kedatangan tetamu yang ingin berkunjung ke sana. Apapun itu saya ttap berpendapat mungkin akan ada mana-mana waris keturunan Almarhum Raja Billah yang akan berkunjung ke istana tersebut memandangkan hari tersebut adalah cuti hari sabtu.

Pemandangan istana selepas melalui pintu pagar masuk

Setibanya di lokasi

Gambar bangunan Istana Raja Billah yang saya sempat ambil sebaik saja tiba di sana 

Seni bina lama masyarakat melayu Perak jelas terlihat pada
bumbung tingkap di Istana Raja Billah ini

Sebaik saja saya dan Pak Ijam tiba di lokasi yang kami tuju, saya dan Pak Ijam segera keluar dari kereta lalu saya memberikan salam saya kearah sebuah rumah kayu yang terletak tidak jauh bangunan istana dan sebuah masjid lama yang diperbuat dari kayu yang sudah tidak lagi digunakan. Namun begitu tiada siapa yang menjawab salam saya itu, saya pada waktu itu menyangka mungkin sedang sibuk melakukan aktiviti lain atau ke tempat-tempat berhampiran istana tersebut. Sejurus kemudian saya dan Pak Ijam berjalan-jalan mengelilingi kawasan di sekitar istana lama tersebut. Kami berdua mendapati kawasan istana tersebut benar-benar sunyi dan tenang namun terdapat dua ekor anjing besar yang berkeliaran di sekitar kawasan istana tersebut. Yang amat menghairankan anjing-anjing tersebut langsung tidak menyergah apatah lagi menyerang kami berdua. Sebaliknya anjing-anjing tersebut berjalan perlahan-lahan meninggalkan tempatnya berbaring seperti memberi laluan kepada kami untuk meninjau-ninjau disekeliling kawasan istana itu. Ianya membuatkan hati saya berasa sesuatu yang aneh pada istana tersebut.

Sempat mengelilingi kawasan istana lama ini

Pintu gerbang istana

Pada pandangan peribadi saya secara jujurnya, senibina istana lama ini dilihat sebagai sebuah khazanah budaya yang indah. Ianya dapat dikesan khususnya pada ragamhias ukiran di bahagian kepala pintu dan kepala tingkap. Soal “misteri” tentang istana ini yang diketengahkan bergantung kepada cara penyampaian beberapa pihak yang pernah menjejakkan kaki ke sana (Sila abaikan jika mendengar cerita dari mulut ke mulut yang akhirnya dapat memberi impak negatif kerana kesudahannya akan menerbitkan versi “rekaan”). Cuma saya agak ralat apabila perihal kisah mengenai istana ini dikongsi hanya kerana untuk kepentingan peribadi dengan tujuan mengaut keuntungan semata-mata sehingga mengenepikan ciri keindahan yang sewajarnya diberi lebih perhatian. Jika ditanya apa yang “misteri” di istana ini, saya tiada jawapan untuk itu. Barangkali ia akan menjadi “misteri” kepada mereka berniat ketengahkan kisah misteri… justeru mereka sendiri “diselubungi misteri”… 

Pintu besar istana yang tertutup

Pintu gerbang istana tertera tahun ianya mula di bina

Semasa saya melawat di sekitar istana ini saya telah ditunjukkan oleh Pak Ijam sebuah tempat yang dipercayai sebagai tempat rahsia di istana lama ini. Jika dipandang seperti biasa sememangnya tiada apa-apa yang luar biasa namun memang tidak disangka bahawa tempat yang ditunjukkan itu adalah sebuah tempat simpanan senjata.

Halaman depan istana masih berkeadaan baik dan dipelihara oleh penjaganya

Dalam masa saya dan Pak Ijam pergi meninjau-ninjau sekitar masjid tersebut tiba-tiba saya didatangi oleh seorang perempuan tua beramput panjang hingga ke paras bahu, berpakaian baju kurung kedah dan berkain batik. Saya pada mulanya berasa sedikit ketakutan apabila melihat berjalan kearah saya namun saya memberanikan diri dan bersangka baik, mungkin itulah penjaga kawasan istana ini yang juga merupakan cicit kepada Almarhum Raja Billah. Menurut waris Almarhum yang pernah saya hubungi sebelum ini, waris yang menjaga istana dan masjid lama tersebut bernama Opah Saadiah, beliau yang telah diamanahkan untuk menjaga dan memerlihara istana ini daripada diganggu-gugat oleh mana-mana individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Binaan istana masih lagi berdiri kukuh dan mengekalkan keasliannya

Saya sempat memberikan salam dan dibalas oleh beliau, saya juga memperkenalkan diri serta menyatakan tujuan saya ke lokasi tersebut. Beliau juga memperkenalkan dirinya sebagai Opah Saadiah(Inilah orang yang diceritakan), dan beliau menyatakan yang kawasan ini sememangnya terbuka kepada sesiapa saja yang berniat baik dengan syarat tidak berlaku 'biadap' seperti merosakkan, mengalih, atau mengambil apa-papa barang yang terdapat di dalam kawasan istana lama tersebut. Saya sempat bertanykan kepada beliau yang selalukah waris-waris Raja Billah yang lain datang berkunjung ke Istana ini, beliau menjawab yang waris-waris Raja Billah kebanyakkannya tinggal di luar negeri Perak maka ada kebanyakkannya terputus hubungan. Selalunya waris-waris keluarga yang datang berkunjung dan menziarah beliau dan istana ini hanylah pada setiap hari raya Idul Fitri saja kerana setiap tahun diadakan majlis perjumpaan para waris Raja Billah.

Untuk ke bangunan istana mesti menaiki 13 anak tangga

Saya turut bertanyakan kepada Opah Saadiah dimanakah terletaknya Makam Raja Bilah. Opah Saadiah memberitahu saya bahawamakan Almarhum raja Billah terletak di atas sebuah bukit berhadapan dengan Mesjid Papan. Raja Bilah yang juga Penghulu Papan, telah mangkat pada tahun 1911. Warisnya menamakan Rumah Besar Moyang Raja Bilah, Penduduk di sekitar daerah Batu Gajah yang menggelarkannya sebagai Istana Raja Billah. Sebaik sahaja Raja Billah mangkat warisnya, Raja Shahbuddin bin Raja Billah tinggal menjaga Rumah Besar. Menurut Opah Saadiah sebenarnya Istana Raja Billah a.k.a Rumah Besar telahpun diperbaiki oleh pihak Muzium Negara beberapa tahun lalu. Pihak Muzium sepatutnya membekalkan almari pameran untuk mempamerkan barang-barang dan senjata-senjata lama supaya Istana ini dapat dibuka kepada pelawat. Tetapi hingga kini masalahnya almari pameran pula tiada dibekalkan kerana tiada peruntukan mengikut kata-kata dari Opah Saadiah yang menjaga Rumah tersebut dan ada juga barang-barang lama di Istana tersebut yang telahpun hilang.

Lelaki di gambar tersebut adalah Pak Ijam yang telah membawa saya menjelajah sekitar 
Pekan Papan dan Istana Raja Billah

Masjid Papan (Masjid Mendailing)


Masjid Papan dari arah pintu masuk istana

Tingkap masjid sepanjang masa sentiasa terbuka

Sudut hadapan masjid

Di dalam perkarangan Istana Raja Billah terdapat sebuah lagi bangunan lama yang telah berusia seabad dengan usia Istana Raja Billah, bangunan tersebut adalah 'Masjid Mendailing'. Ianya merupakan sebuah masjid yang dibina menggunakan kaedah lama seperti pahat dan tekap tanpa menggunakan sebarang paku untuk membinanya. Kedudukan masjid ini terletak dalam bentuk segitiga bersama dengan dua bangunan lain iaitu bangunan istana dan rumah waris yang kini menjadi penjaga kepada kawasan istana lama tersebut. Cuma bangunan istana didirikan diatas sebuah bukit bagi membolehkan pemiliknya meninjau dan melihat kawasan sekeliling di dalam dan di luar perkarangan istana khususnya di sekitar pekan lama Papan.

Papan tanda lama membuktikan bahawa tapak istana dan masjid ini
pernah dibaikpulih oleh pihak Jabatan Muzium Negara beberapa
tahun dahulu.

Pintu serambi masjid

Pintu masuk ke dewan solat masjid

Masjid ini pula kedudukannya agak ke kiri sedikit bertentangan dengan Istana Papan. Tiga binaan iaitu istana, masjid dan rumah lama ini seolah membentuk segitiga jika dilihat dari arah pandangan atas. Pengaruh Acheh jelas kelihatan pada rekabentuk hiasan puncaknya. Menurut jurupandu saya Pak Ijam, kawasan di sekitar masjid dan istana lama tersebut merupakan tempat beliau bermain sewaktu di zaman kanak-kanak. Dahulu di luar kawasan istana itu terdapat beberapa buah rumah-rumah tradisional melayu lama yang kini telah terbiar kerana telah ditinggalkan. Pak Ijam menambah bahawa pada masa dahulu semasa di zaman 1950, 1960 dan awal 1970-an masjid lama tersebut selalu digunakan untuk solat jumaat, kemudiannya masjid tersebut menjadi terbiar setelah penduduk-penduduk kampung bersebelahan kawasan istana tersebut berpindah ke bandar-bandar berhampiran seperti di Batu, Gajah, Siputeh, dan Ipoh. 

Bahagian ruangan solat utama masjid, dapat dilihat didalamnya
masih berkeadaan baik

Mimbar masjid yang masih berkeadaan baik dan kukuh

Pak Ijam menceritakan kepada saya bahawa di waktu zaman bapa dan datuknya dahulu seringkali diadakan majlis jamuan makan tengahari setelah selesai solat jumaat di balairong istana lama tersebut bagi meraihkan para jemaah yang datang ke masjid tersebut. Pak Ijam memberitahu bahawa dahulu kebanyakkan keluarga yang tinggal di kampung-kampung(kini menjadi kawasan hutan belukar) bersebelahan kawasan istana tersebut adalah terdiri dari masyarakat melayu suku Mendailing dari utara pulau Sumatera.

Pandangan sudut kiri Masjid Papan

Pandangan sudut kanan Masjid Papan 

Saya memohon kebenaran kepada Opah Saadiah untuk memasuki dan pada masa yang sama membersihkan sedikit ruangan solat di dalam Masjid Mendailing di istana itu dan Alhamdulillah Opah Saadiah tanpa bersoal dengan saya membuka pintu masuk masjid untuk saya dan Pak Ijam membersihkan sebahagian di dalam masjid tersebut disamping menunggu waktu untuk solat fardhu Zuhur. Di dalam masjid tersebut saya melihat kebanyakkan bahagian sepert mimbar, mihrab, beduk dan ruangan dalam dan luar masjid masih lagi kelihatan kukuh dan berkeadaan baik biarpun sudah berusia melebihi seratus tahun. Suhu di dalam masjid tersebut juga boleh dianggap sejuk kerana  terletak di kawasan yang begitu redup dan di kelilingi oleh pokok-pokok hutan yang rendang.

Keadaan di sekitar Istana

Untuk makluman semua, kawasan Istana Raja Billah ini menurut pandangan saya semasa kunjungan agak bersih. Kawasan ini dijaga oleh waris Raja Billah yang tinggal bertentangan dengan binaan istana dan masjid papan (kedudukan 3 binaan iaitu istana, masjid papan dan rumah lama seakan membentuk segitiga…saling berdekatan). Saya pernah difahamkan bahawa binaan istana lama ini telah dicadangkan untuk beralihfungsi menjadi sebuah muzium atau arkib. Namun saya tidak pasti adakah ianya hanya sekadar satu cadangan atau telah ianya telah mendapat kelulusan pihak yang diberi mandat. 

Namun di lubuk hati saya mendapati kawasan sekitar Istana kian terbiar. Cadangan dari pihak-pihak yang selama ini berjanji untuk memulihara dan menjaga khazanah ini kini hanya tinggak janji. Saya berasa Kasihan pada Opah Saadiah yg setia menemani bersama sepupunya Makcik Saariah biarpun umur mereka berdua sudah lanjut usia, namun demi menjaga amanah mereka tetap mengagahkan diri agar khazanah peninggalan Almarhum Raja Billah ini tetap utuh supaya dapat dirasai oleh seluruh cucu-cicit keturunan Raja Billah serta generasi muda amnya. Semoga Allah permudahkan urusan mereka dan membalas jasa mereka, Amin Ya Rabb...

No comments:

Post a Comment