Advertising

Nikon

Wednesday, October 9, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 2 - Pekan Papan)

Memang sudah lama saya berkira-kira untuk melihat sendiri keusangan pekan Papan. Semenjak pertama kali mendengar cerita berkenaan pekan ini, sebelum ini hati saya bagaikan melonjak-lonjak mahu menjejakinya. Akhirnya peluang untuk melihat sendiri pekan Papan ini termakbul juga dalam kembara saya pada cuti hujung minggu baru-baru ini.    

Di Sepanjang Perjalanan 

Saya memulakan perjalanan dari pekan Simpang Pulai menuju ke bandar lama Batu Gajah untuk bertemu dengan seorang lelaki yang merupakan penduduk asal di kampung bersebelahan dengan pekan Papan(kini kampung tersebut telah tiada lagi), namanya Ahmad Nizam Hamid atau mesra dipanggil sebagai Pak Ijam, umurnya sudah memasuki separuh abad tetapi ingatan beliau terhadap pekan Papan masih jelas kerana disitulah tempat kelahirannya. Dengan bantuan Pak Ijam beliau membawa saya menaiki keretanya menuju ke pekan Papan melalui jalan lama melalui bandar lama Batu Gajah namun begitu sebelum tiba di destinasi yang dituju Pak Ijam sempat membawa saya melihat bangunan stesen keretapi lama Batu Gajah yang kini tidak lagi digunakan. Stesen keretapi Batu Gajah telah dipindahkan di kawasan berhampiran dengan Bemban berdekatan dengan kawasan perindustrian Batu Gajah di sana.

Stesen keretapi lama di Batu Gajah yang tidak lagi digunakan

Papan tanda di bahu jalan mengarah ke Papan, disini juga saya sudah mula tergambar keusangan pekan tersebut

Balai Polis Pusing yang masih lagi beroperasi hingga kini

Kemudiannya saya dan Pak Ijam meneruskan perjalanan menuju ke Pekan Papan melalui jalan yang sama. Apa yang terdetik di fikiran saya ialah sudah pasti usia diantara bandar Batu Gajah dan pekan Papan adalah mungkin sama cuma bandar Batu Gajah nasibnya lebih baik kerana terletak di laluan diantara Bandar Gopeng dengan Ipoh serta terdapat stesen keretapi dan laluan sungai. Berbanding dengan pekan Papan yang saya fikir begitu tersorok dan jarak diantara kedua-dua pekan ini boleh dikatakan begitu jauh. Perjalanan ke Papan mengambil masa lebih kurang 20 minit dengan menaiki kenderaan. Untuk sampai ke pekan Papan kita akan melalui pekan lama Pusing, disitu masih lagi berdiri kukuh bangunan rumah-rumah kedai lama yang masih lagi beroperasi walaupun ada sesetengahnya sudah tidak digunakan lagi. Terdapat simpang tiga di pekan lama Pusing untuk menuju ke pekan Papan, di simpang tiga tersebut terdapat sebuah balai polis yang sudah kelihatan begitu lama tetapi masih lagi 'berbakti' kepada penduduk di sekitar pekan lama tersebut. Pak Ijam yang menjadi 'pemandu pelancong' saya memberitahu yang sewaktu zaman darurat dahulu perkarangan balai polis tersebut pernah menjadi markas operasi bagi tentera-tentera dari negara-negara komanwel yang dikerah untuk menumpaskan kegiatan gerila-gerila Parti Komunis Malaya(PKM) yang dipercayai mempunyai markas mereka disekitar hutan-hutan tebal di pinggir Batu Gajah ini. 

Betapa sunyinya jalan utama menuju ke pekan Papan

Sebaik saja melepasi balai polis tersebut kereta yang dibawa Pak Ijam yang saya naiki melalui sebatang jalan yang boleh dikatakan agak sunyi dari bukan saja dilalui oleh kereta atau motor malah pejalan kaki, apa yang saya lihat di sepanjang jalan tersebut terdapat beberapa ekor anjing-anjing liar yang berkeliaran di jalan menuju ke pekan Papan. Terdetik di hati saya seandainya saya berseorangan ditambah dengan tidak menaiki apa kenderaan untuk keasana sudah pasti saya akan diserang atau paling kurang pun dikejar oleh anjing-anjing liar tersebut. Apa yang saya amati ketika menghampiri pekan Papan saya dapati terdapat beberapa buah kawasan perkuburan cina di jalan masuk ke pekan tersebut, cuma terdapat sebuah perkampungan cina yang tertera di pintu masuk kampung tersebut 'Kampong Papan Bharu'. Saya mengandaikan yang kawasan kampung tersebut telah diwujudkan semenjak zaman darurat lagi oleh pihak British bagi menggelakkan para penduduk yang majoritinya berbangsa cina terpengaruh dan membantu perjuangan gerila-gerila PKM pada zaman tersebut. Dari maklumat yang perolehi dari Pak Ijam yang kampung tersebut mula didirikan pada awal tahun 1950-an. Dan asalnya kampung tersebut berpagar dengan kawat duri dan dijaga oleh pengawal bersenjata(Home Guard) bagi mengelakkn pasukan gerila masuk ke kampung tersebut. 

Memasuki Pekan Papan 


Selamat datang ke 'Ghost Town'

Lama dan tidak lagi berpenghuni

Rumah kedai lama yang masih lagi berdiri kukuh.

Tiba saja di pekan Papan sudah jelas di hadapan mata dan kepala saya betapa usangnya pekan yang bersejarah ini. malah bukan saya saja Pak Ijam yang merupakan orang yang lama menetap di sekitar Batu Gajah itu juga berkongsikan rasa kehairanan mengapa pekan ini terhadap pekan ini. Beliau berpandapat kedudukan pekan ini yang terletak ditengah-tengah laluan diantara Ipoh dengan Batu Batu Gajah sepatutnya hidup dan sibuk dengan aktiviti ekonomi masyarakat setempat. Namun sebaliknya berlaku, pekan ini kelihatan mati dan seolah-olah seperti sudah 'dibom'. Ada juga orang-orang Perak menggelarkannya sebagai 'The Ghost Town' kerana keusangan kebanyakkan bangunan rumah-rumah kedai yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak diduduki malah ada yang kelihatan sudah menyembah bumi. Terdapat juga bilangan rumah-rumah kedai yang masih digunakan bagaikan boleh dikira dengan jari dan majoriti penduduknya terdiri dari warga emas berbangsa cina. 


Sejarah Pekan Papan 

Mengikut sejarahnya pekan ini mula wujud akibat dari ledakan perkembangan aktiviti melombong bijih timah di lembah Kinta suatu ketika dahulu. Jadi tidak hairanlah jika majoriti penduduk Papan terdiri dari orang Cina. Namun demikian sesuatu yang pasti asalnya pekan Papan ini dibuka oleh orang Melayu. Sejarah membuktikan bahawa lombong-lombong bijih timah di Papan ini asalnya adalah milik bekas sultan Perak ke-25 iaitu Almarhum Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah. Setelah pecahnya perang Perak, lombong-lombong bijih timah milik baginda telah diserahkan oleh pihak British kepada Raja Asal dan seterusnya kepada anak saudaranya Raja Bilah. 

Selain itu Raja Bilah pernah pengusahakan lombong bijih timah di pekan Papan. Sungai Johan, Sungai Kinta dan Sungai Raya merupakan lokasi penting perlombongan bijih timah ketika itu. Antara kaedah perlombongan ketika itu ialah meludang, melereh, mencabik dan menabok. Kemudian Raja Bilah membeli sebuah enjin pam dari England. Kemudian enjin kedua dibeli dari Uganda. Lombong bijih timah di Papan asalnya dipunyai oleh Sultan Ismail, Perak. Apabila Perang Perak meletus pada tahun 1975 berikutan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, J.W.W. Birch oleh Dato' Maharajalela dan Sipuntum pada Hari Raya Aidilfitri 2 November 1875, Sir Frank Swettenham yang memangku jawatan Residen British menggantikan J.W.W. Birch(Seterusnya beliau dilantik oleh Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura menjadi Residen di Selangor pada 1876) telah menyerahkan lombong ini kepada Raja Asal. Raja Asal berasal dari Sumatera Barat dan bapa saudara kepada Raja Billah . 

Akhirnya lombong-lombong ini diserahkan kepada Raja Billah Pada tahun 1887 telah berlaku satu rusuhan yang dicetuskan oleh para pelombon-pelombong bijih timah di sekitar pekan Papan, hingga mengakibatkan kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda di pekan ini. Pasukan polis negeri telah dikerahkan untuk mengawal dan mententeramkan keadaan, situasi tersebut mendorong Raja Billah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku diantara para pelombong bijih timah yang kebanyakkannya berbangsa cina dengan pihak penjajah British. Berikutan dengan kejayaan Raja Billah menyelesaikan konflik yang berlaku telah membawa kepada perlantikan Raja Billah sebagai Penghulu Pekan Papan oleh Residen British, Sir Hugh Low pada tahun 1888. Raja Billah menjawat jawatan tersebut hingga beliau mangkat pada tahun 1910. 

Dr. Sybil Karthigesu 

Pekan papan juga mempunyai kaitan dengan sejarah pra-kemerdekaan negara kerana di pekan inilah terpahat nama seorang wirawati bernama Dr. Sybil Karthigasu, seorang doktor(asalnya seorang jururawat) yang telah membantu pihak Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun(MPAJA) dalam usaha menentang pendudukan tentera Jepun di sekitar pekan ini. Beliau telah membantu pihak MPAJA dan penduduk setempat ketika itu dengan menyebarkan maklumat-maklumat melalui radio yang disimpan di rumahnya bagi menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai perkembangan pertempuran yang berlaku diluar Malaya diantara pihak tentera Jepun dengan pihak tentera bersekutu. Tindakannya itu di dapat dihidu oleh pihak tentera Jepun dan akhirnya beliau ditangkap dan disiksa selama lebih 2 tahun. Turut disiksa ialah suami dan anak perempuannya, selepas sahaja Jepun menyerah kalah Dr. Sybil telah dibawa ke Britain untuk dirawat disana. Pada tahun 1947, Dr. Sybil telah dianugerahkan 'George Medal' oleh Raja Britain, King George VI di Buckingham Palace, London. 

Rumah milik saudara Poon Chee Sung ini asalnya adalah rumah dan klinik Dr. Sybil Karthigasu

Kesan daripada penyeksaan yang terlampau teruk yang dialami oleh beliau semasa dalam tahanan tentera Jepun telah menyebabkan beliau menderita sakit dan seterusnya meninggal dunia di London pada tahun 1948. Jenazah beliau telah disemadikan di Ipoh. Saya tidak berkesempatan untuk melawat klinik Dr. Sybil yang terletak di sepanjang deretan utama bangunan rumah kedai di pekan Papan. Ini kerana bangunan klinik tersebut sedang dalam kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian untuk dijadikan muzium. Namun saya sempat bertemu dengan penjaga klinik tersebut, Saudara Low Siak Hong yang juga merupakan kurator bagi projek muzium Dr. Sybil yang dikendalikan oleh beliau. Menurutnya, keadaan bangunan yang amat usang memaksa pihaknya membuat penambahbaikan hingga memaksa pihaknya menutup muzium klinik Dr. Sybil. Walaubagaimanapun muzium tersebut akan mula dibuka pada awal tahun hadapan. Untuk makluman sebatang jalan di Ipoh dinamakan 'Jalan Sybil Karthigesu' bersemperna mengabadikan nama beliau.


Mengenai Pekan Papan 

Pekan ini dihuni oleh lebih kurang 100 orang penduduk. Ia didominasi oleh kaum Cina dan pekannya tidak boleh dipanggil pekan pun kerana ia sangat kecil. Walaupun begitu, pada masa dahulu ia pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah yang paling banyak di dunia. Sekarang pekan ini sangat sepi dan ketika saya hadir bersama Pak Ijam, orang-orang di sini memandang kearah kami berdua dan itu menandakan bahawa penduduk disini begitu jarang menerima kehadiran tetamu luar yang berkunjung ke pekan lama ini. Apa yang saya saksikan bangunan-bangunan lama di sini juga suram dan sayu seakan-akan meratapi nasibnya yang dipinggirkan. Saya menyarankan kepada pencinta sejarah supaya datanglah melawat ke pekan lama ini dan berilah sokongan moral kepada penduduk-penduduk asal disini agar bangunan-bangunan lama yang masih lagi berdiri disini sebelum ia hilang buat selama-lamanya. Berterima kasihlah kepada pekan ini di atas sumbangan besar bijih timah yang memungkinkan wujudnya Bandaraya Ipoh seperti yang kita lihat pada masa kini. 

Antara beberapa ramah kedai yang lagi berpenghuni namun kebanyakkan adalah dari warga emas

Untuk pengetahuan pembaca Pengarah filem terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad sering menggunakan pekan ini di dalam filem-filemnya kerana pekan ini mempunyai banyak bangunan-bangunan bercorak 1950-an. Seperti yang saya katakan tadi, oleh kerana bijih timah ialah industri yang pesat di sini sekitar tahun-tahun itu, pekan-pekan ini terbina dengan maju sekali beserta dengan kemudahan prasarana yang lengkap pada masa itu. Hari ini, bangunan-bangunan ini masih berdiri teguh tetapi agak kusam dan tidak bermaya. Deretan rumah-rumah kedai dan bangunan istana berhampiran pernah menjadi lokasi pengambaraan bagi filem 'Anna and the king', lakonan Jodie Foster dan Chow Yun Fatt. 

Tumpuan saya terarah kepada rumah lama ini

Latar belakang pekan ini yang dilihat begitu menepati ciri-ciri suasana abad ke-19 menjadikan pekan ini menjadi set pengambaraan yang utama dalam filem tersebut. Saya diberitahu oleh beberapa orang penduduk disini bahawa produksi filem Hollywood yang membuat kerja-kerja pengambaraan disini telah membelanjakan beberapa juta ringgit untuk kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan bangunan-bangunan lama di pekan ini agar sesuai digunakan untuk pembikinan filem tersebut. 

Rumah ini dahulunya milik seorang pengusaha lombong bijih timah di kawasan ini tetapi telah ditinggalkan sejak lebih 30 tahun yang lalu

Maklumat yang saya perolehi dari seorang penduduk di pekan ini memberitahu pada tahun 1984, para penduduk di pekan ini pernah melakukan beberapa siri tunjuk perasaan bagi mendesak kerajaan negeri Perak ketika itu untuk menghentikan projek penempatan sisa radioaktif di Bukit Merah, Kinta yang berdekatan tidak jauh dari pekan ini. Menurutnya kesan dari kegiatan tersebut menjadi penyumbang kepada kemerosotan aktiviti ekonomi dan sosial di sekitar pekan lama ini. Walaupun aktiviti tersebut telah lama dihentikan kesan sisa radioaktif nadir bumi masih dapat dirasai dikawasan-kawasan berhampiran dengan Bukit Merah termasuklah di pekan Papan. 

Di Akhir Catitan 

Pemandangan pekan Papan dari lokasi bukit di sebuah istana lama

Hari ini pekan legenda ini tidak sehebat zaman kegemilangannya dahulu. Jika silap percaturan oleh Kerajaan Negeri, pekan ini akan luput dari peta Negeri Perak kerana terdapat cadangan untuk melombong bijih timah yang masih ada secara besar-besaran di sini. Sekiranya perancangan ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, semua bangunan-bangunan di sini akan diruntuhkan sehingga menjadi kolam besar lombong bijih seperti yang kita lihat di tempat lain.

* Bahagian seterusnya saya akan memaparkan tentang keunikan dan kisah disebalik sebuah istana lama yang dikenali sebagai 'Istana Raja Billah' yang juga terletak di pekan Papan.

No comments:

Post a Comment