Advertising

Nikon

Tuesday, October 29, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 4 : Istana Raja Muda di Teluk Intan, Perak)

Sebaik saja kunjungan saya ke pekan lama Papan dan Istana Raja Billah selesai, perjalanan saya yang seterusnya ialah menuju ke Teluk Intan. Sebenarnya saya sudah lama tidak ke bandar Teluk Intan yang terkenal dengan mercu tanda menara condongnya. Sebuah bandar lama yang berusia lebih 120 tahun, namun nasib bandar ini jauh lebih baik berbanding pekan Papan dan pekan-pekan seusia dengannya. Perjalanan saja dari Batu Gajah ke Teluk Intan hanya dengan menumpang sebuah lori sawit yang sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Teluk Intan yang kebetulan melalui jalan lama menghubungkan diantara Ipoh-Batu Gajah-Gopeng dan seterusnya ke Kampar. Jalan yang menjadi kegunaan utama bagi mana-mana kenderaan berat bagi menggelak daripada menggunakan lebuhraya bertol.

Bandar Teluk Intan bukan saja istimewa kerana menara condongnya malah kedudukannya yang pernah menjadi pelabuhan transit bagi kapal-kapal yang berlabuh untuk mengangkut bahan-bahan mentah seperti bijih timah, getah dan hasil-hasil hutan satu ketika dahulu. Fakta ini diperkuatkan lagi dengan kewujudan laluan keretapi yang menghubungkan di antara bandar Slim River ke Anson Bay(Teluk Intan) yang kini sudah tidak digunakan lagi. Laluan yang dilalui oleh lori yang saya tumpangi itu menyelusuri jalan-jalan lama disekitarnya merupakan ladang-ladang sawit. Perjalanan yang mengambil masa selama lebih satu jam itu akhirnya membawa saya terus ke pusat bandar Teluk Intan. Pemandu lori tersebut memberhentikan lorinya dihadapan menara condong. Ini benar-benar satu penghormatan bagi saya sebagai seorang backpacker.

Sempat bergambar di hadapan pintu masuk menara Condong

Tiba saja di perkarangan menara saya terus meminta bantuan seorang anggota penguatkuasa yang kebetulan berada disitu untuk mengambil gambar saya di hadapan menara condong. Sesudah itu, saya tanpa berlengah terus masuk ke dalam menara condong itu untuk menyaksikan keunikan seni bina lama di dalam menara tersebut. Semasa berada di dalam menara tersebut terdapat beberapa gambar yang digantung di ruangan dalam menara tersebut perhatian saya teralih kepada satu gambar yang menunjukkan sebuah istana lama yang kelihatan usang dan terbiar, malah keadaannya jauh lebih teruk berbanding Istana Raja Billah yang saya lawati sebelum itu. Saya cuba bertanya kepada seorang penjaga menara condong disitu dan dia memberi tahu yang bangunan di dalam gambar tersebut adalah bekas istana yang pernah menjadi kediaman pewaris takhta kerajaan negeri Perak satu ketika dahulu dan Istana tersebut dikenali sebagai 'Istana Raja Muda'.

 Gambar Istana Raja Muda yang terdapat di dalam Menara
Condong Teluk Intan

Saya cuba bertanyakan kepada seorang Pakcik tua yang menjaga pintu masuk Menara Condong disitu, dan maklumat yang saya dapati dari pakcik tua tersebut beliau menyatakan bahawa istana tersebut telah mula dibina sejak sebelum merdeka lagi, yakni pada tahun 1920-an. Menurut beliau lagi sultan perak ke-31 iaitu Sultan Abdul Aziz Shah adalah orang pertama yang mendiami istana tersebut semasa beliau menjawat jawatan sebagai Raja Muda Perak kerana telah disyaratkan ketika itu bahawa sesiapa saja yang menjadi pewaris takhta mestilah bersemayam di Teluk Intan sebelum membolehkan beliau layak untuk di masyhurkan sebagai pengganti sekiranya Sultan telah mangkat. Saya bertanya lagi kepadanya adakah keadaan istana itu benar-benar seperti yang digambarkan di dalam gambar itu dan beliau menjawab memang benar kerana istana itu mulai terbiar selepas DYTM Raja Dr. Nazrin Shah dilantik sebagai Raja Muda Perak pada tahun 1988 selepas kemangkatan Almarhum Raja Ahmad Sifuddin Shah Ibni Sultan Idris Shah.

Permandangan Istana dari Jalan Syed Abu Bakar yang melintasi
kawasan istana tersebut

Sekeliling kawasan istana juga kelihatan terbiar

Bahagian hadapan pintu masuk utama istana

Selepas mendapat maklumat mengenai istana lama tersebut saya segera meninggalkan Menara Condong untuk ke istana lama tersebut. Namun saya berkesempatan mendapatkan alamat dimana lokasi istana itu berada. Seterusnya saya menaiki teksi untuk ke istana lama itu, perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Istana ini terletak di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan, Perak berhampiran Sekolah Convent dan St Anthony Teluk Intan. Keluasan kawasan Istana ini dikatakan lebih dari 1 ekar. Daripada apa yang di beritahu oleh pakcik yang menjaga Menara Condong Teluk Intan tersebut pihak Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pernah mengeluarkan arahan untuk meruntuhkan bangunan istana berkenaan tetapi tidak dapat dilaksanakan lagi diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Bahagian dalam istana yang sudah di tumbuhi belukar

Salah satu pintu menghubungkan bahagian
lain dalam istana

Tangga dalam istana menuju ke bilik di tingkat atas

Ketika saya berada disana apa yang saya lihat keadaan bangunan istana dan kawasan sekelilingnya amatlah teruk sekali, boleh dikatakan apa yang saya lihat dengan mata dan kepala saya sendiri lebih teruk dari apa yang saya lihat di gambar dalam menara condong sebelum itu. Memandangkan Istana Raja Muda ini sudah lebih 20 tahun tidak berpenghuni menjadikan bangunan istana tersebut kelihatan buruk. Saya cuba memasuki ke dalam bangunan istana tersebut dan apa yang saya dapati keadaan di dalamnya ternyata begitu teruk sekali. Banyak struktur-struktur dalam istana tersebut sudah menyembah bumi, bumbung istana pula kebanyakkannya sudahpun runtuh dan hanya tinggal dinding, tembok dan tiang istana saja yang masih berdiri kukuh sebagai menunjukkan bahawa istana lama ini masih wujud.

Kini hanya tinggal struktur dinding menunjukkan yang istana
ini benar-benar wujud

Laluan masuk utama ke dalam istana

Di dalam hati kecil saya terdetik perasaan kesal dan saya bertanya kepada diri saya, "mengapa binaan yang penuh dengan nilai sejarah ini perlu dibiarkan sedemikian rupa?". Bagi saya jika pihak istana Perak tidak mahu lagi menggunakan dan mengurus serta menyelenggarakan bangunan istana ini lebih baik istana ini diserahkan saja kepada pihak Jabatan Antikuiti, setidak-tidaknya istana ini boleh dijadikan muzium untuk tatapan generasi muda bagi menunjukkan betapa tingginya nilai sejarah yang pernah terlakar di bangunan ini. Bagi saya bangunan istana usang ini sepatutnya menjadi kebanggaan khususnya bagi penduduk di Teluk Intan dan rakyat negeri Perak amnya. Saya berharap agar selagi tinggalan istana lama ini masih ada ianya perlu dibaikpulih kerana masyarakat perlu mengetahui bahawa istana ini merupakan sebahagian daripada sejarah negeri Perak.

Thursday, October 24, 2013

Keputusan Rasmi Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia(USM) sesi 2013/2014











Pilihanraya kampus bagi Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan pada 24hb. Oktober 2013 yang lalu. Sebanyak 39 konstituensi di peringkat umum dan di peringkat pusat pengajian telah dipertandingkan. Berikut adalah keputusan PRK yang diumumkan oleh pihak pentadbiran USM :-

Jumlah kerusi yang di pertandingkan : 39 Kerusi

Jumlah di menangi oleh pihak Aspirasi Universiti : 22 Kerusi
Jumlah di menangi oleh pihak Pro-Mahasiswa USM : 16 Kerusi
Jumlah di menangi oleh calon Bebas : 1 Kerusi

Berikut adalah kerusi-kerusi yang di menangi mengikut kampus :-

1) Kampus Induk Pulau Pinang :-

Konstituensi Umum (6 kerusi dipertandingkan)

- Aspirasi Universiti : 4 Kerusi
- Pro-Mahasiswa : 2 Kerusi

Konstituensi Siswazah (6 kerusi dipertandingkan)

- Aspirasi Universiti : 3 Kerusi
- Bebas : 3 Kerusi

Konstituensi Pusat pengajian (19 kerusi dipertandingkan)

- Aspirasi Universiti : 12 Kerusi
- Pro-Mahasiswa : 7 Kerusi
- Bebas : 1 Kerusi

2) Kampus Perubatan Kubang Kerian :-

Konstituensi Umum (1 kerusi dipertandingkan)

- Bebas(Menyokong Pro-Mahasiswa) : 1 Kerusi

Konstituensi Pusat Pengajian (5 kerusi dipertandingkan)

- Pro-Mahasiswa : 3 Kerusi
- Bebas(Menyokong Pro-Mahasiswa) : 1 Kerusi
- Aspirasi Universiti : 1 Kerusi

3) Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal :-

Konstituensi Umum (1 kerusi dipertandingkan)

- Bebas (Menyokong Pro-Mahasiswa) : 1 Kerusi

Konstituensi Pusat Pengajian (5 kerusi dipertandingkan)

- Aspirasi Universiti : 4 Kerusi
- Pro-Mahasiswa : 1 Kerusi

Tahniah dan takziah buat calon-calon yang memenangi kerusi dan selamat menjalankan tugas serta menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan amanah, telus dan adil.





Wednesday, October 16, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 3 : Istana Raja Billah & Masjid Papan)

Dalam kunjungan saya ke pekan Papan baru-baru ini terdapat sebuah lokasi bersejarah yang sememangnya begitu sinonim dengan kewujudan pekan lama ini. Dalam 'homework' yang saya lakukan mengenai pekan Papan ini saya berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang sebuah monumen lama yang telah berdiri kukuh lebih seabad di pekan ini. Saya juga telah berjaya menghubungi salah seorang waris pemilik istana ini untuk memohon kebenaran beliau untuk melawat ke istana lama ini. Sebuah monumen atau bangunan lama yang menjadi mercu tanda kepada kewujudan pekan lama ini. Tempat tersebut ialah 'Istana Raja Billah'. 

Semasa saya berjalan-jalan melihat-lihat keadaan disekeliling pekan Papan saya bersama-sama dengan jurupandu saya iaitu Pak Ijam saya sempat bertanyakan kepada salah seorang penduduk di pekan tersebut, disebabkan tiada apa-apa papan tanda yang menunjukkan arah ke Istana Raja Billah disitu. Beliau seorang wanita berbangsa cina yang masih muda remaja mungkin dalam lingkungan umur awal 20-an (Sejujurnya saya suka melihatnya kerana dia sangat comel, hehehe...). Wanita cina tersebut tanpa berlengah menjawab pertanyaan saya dengan fasihnya beliau berbahasa melayu, "Awak nak ke Istana Raja Billah ke?, Oh ya, kamu nampak jalan di sebelah rumah saya ni, dan rumah besar itu, disitulah tempatnya." Dan dia sempat bertanya kepada saya datang dari mana lalu saya menjawab yang saya datang dari Kuala Lumpur untuk melihat kesan-kesan tinggalan sejarah di situ dan saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Wanita itu kemudian melemparkan senyumannya kepada saya(Bagaikan nak gugur jantung saya...) dan Pak Ijam yang berada di sebelah saya hanya ketawa kecil melihat gelagat saya dihadapan wanita muda cina yang comel itu.

Saya mengikuti arah seperti yang ditunjukkan oleh wanita tersebut ternyata jalan tersebut tidak jauh dari rumahnya, hanya dalam jarak sejauh 70 meter dengan melalui sebuah rumah kecil yang juga dipercayai sudah ditinggalkan. Menuju ke lokasi istana lama tersebut membuatkan saya berasa bernasib baik kerana tiudak seperti kebanyakkan kenalan-kenalan saya yang pernah ke istana tersebut selalunya pintu masuk ke kawasan istana tersebut tertutup rapat dan dirantai dengan mangga berkunci. Namun saya berasa bertuah kerana kehadiran saya disana seakan-akan di ketahui kerana pintu pagar yang berzink biru di kawasan istana tersebut terbuka luas seolah-olah seperti menyambut kedatangan tetamu yang ingin berkunjung ke sana. Apapun itu saya ttap berpendapat mungkin akan ada mana-mana waris keturunan Almarhum Raja Billah yang akan berkunjung ke istana tersebut memandangkan hari tersebut adalah cuti hari sabtu.

Pemandangan istana selepas melalui pintu pagar masuk

Setibanya di lokasi

Gambar bangunan Istana Raja Billah yang saya sempat ambil sebaik saja tiba di sana 

Seni bina lama masyarakat melayu Perak jelas terlihat pada
bumbung tingkap di Istana Raja Billah ini

Sebaik saja saya dan Pak Ijam tiba di lokasi yang kami tuju, saya dan Pak Ijam segera keluar dari kereta lalu saya memberikan salam saya kearah sebuah rumah kayu yang terletak tidak jauh bangunan istana dan sebuah masjid lama yang diperbuat dari kayu yang sudah tidak lagi digunakan. Namun begitu tiada siapa yang menjawab salam saya itu, saya pada waktu itu menyangka mungkin sedang sibuk melakukan aktiviti lain atau ke tempat-tempat berhampiran istana tersebut. Sejurus kemudian saya dan Pak Ijam berjalan-jalan mengelilingi kawasan di sekitar istana lama tersebut. Kami berdua mendapati kawasan istana tersebut benar-benar sunyi dan tenang namun terdapat dua ekor anjing besar yang berkeliaran di sekitar kawasan istana tersebut. Yang amat menghairankan anjing-anjing tersebut langsung tidak menyergah apatah lagi menyerang kami berdua. Sebaliknya anjing-anjing tersebut berjalan perlahan-lahan meninggalkan tempatnya berbaring seperti memberi laluan kepada kami untuk meninjau-ninjau disekeliling kawasan istana itu. Ianya membuatkan hati saya berasa sesuatu yang aneh pada istana tersebut.

Sempat mengelilingi kawasan istana lama ini

Pintu gerbang istana

Pada pandangan peribadi saya secara jujurnya, senibina istana lama ini dilihat sebagai sebuah khazanah budaya yang indah. Ianya dapat dikesan khususnya pada ragamhias ukiran di bahagian kepala pintu dan kepala tingkap. Soal “misteri” tentang istana ini yang diketengahkan bergantung kepada cara penyampaian beberapa pihak yang pernah menjejakkan kaki ke sana (Sila abaikan jika mendengar cerita dari mulut ke mulut yang akhirnya dapat memberi impak negatif kerana kesudahannya akan menerbitkan versi “rekaan”). Cuma saya agak ralat apabila perihal kisah mengenai istana ini dikongsi hanya kerana untuk kepentingan peribadi dengan tujuan mengaut keuntungan semata-mata sehingga mengenepikan ciri keindahan yang sewajarnya diberi lebih perhatian. Jika ditanya apa yang “misteri” di istana ini, saya tiada jawapan untuk itu. Barangkali ia akan menjadi “misteri” kepada mereka berniat ketengahkan kisah misteri… justeru mereka sendiri “diselubungi misteri”… 

Pintu besar istana yang tertutup

Pintu gerbang istana tertera tahun ianya mula di bina

Semasa saya melawat di sekitar istana ini saya telah ditunjukkan oleh Pak Ijam sebuah tempat yang dipercayai sebagai tempat rahsia di istana lama ini. Jika dipandang seperti biasa sememangnya tiada apa-apa yang luar biasa namun memang tidak disangka bahawa tempat yang ditunjukkan itu adalah sebuah tempat simpanan senjata.

Halaman depan istana masih berkeadaan baik dan dipelihara oleh penjaganya

Dalam masa saya dan Pak Ijam pergi meninjau-ninjau sekitar masjid tersebut tiba-tiba saya didatangi oleh seorang perempuan tua beramput panjang hingga ke paras bahu, berpakaian baju kurung kedah dan berkain batik. Saya pada mulanya berasa sedikit ketakutan apabila melihat berjalan kearah saya namun saya memberanikan diri dan bersangka baik, mungkin itulah penjaga kawasan istana ini yang juga merupakan cicit kepada Almarhum Raja Billah. Menurut waris Almarhum yang pernah saya hubungi sebelum ini, waris yang menjaga istana dan masjid lama tersebut bernama Opah Saadiah, beliau yang telah diamanahkan untuk menjaga dan memerlihara istana ini daripada diganggu-gugat oleh mana-mana individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Binaan istana masih lagi berdiri kukuh dan mengekalkan keasliannya

Saya sempat memberikan salam dan dibalas oleh beliau, saya juga memperkenalkan diri serta menyatakan tujuan saya ke lokasi tersebut. Beliau juga memperkenalkan dirinya sebagai Opah Saadiah(Inilah orang yang diceritakan), dan beliau menyatakan yang kawasan ini sememangnya terbuka kepada sesiapa saja yang berniat baik dengan syarat tidak berlaku 'biadap' seperti merosakkan, mengalih, atau mengambil apa-papa barang yang terdapat di dalam kawasan istana lama tersebut. Saya sempat bertanykan kepada beliau yang selalukah waris-waris Raja Billah yang lain datang berkunjung ke Istana ini, beliau menjawab yang waris-waris Raja Billah kebanyakkannya tinggal di luar negeri Perak maka ada kebanyakkannya terputus hubungan. Selalunya waris-waris keluarga yang datang berkunjung dan menziarah beliau dan istana ini hanylah pada setiap hari raya Idul Fitri saja kerana setiap tahun diadakan majlis perjumpaan para waris Raja Billah.

Untuk ke bangunan istana mesti menaiki 13 anak tangga

Saya turut bertanyakan kepada Opah Saadiah dimanakah terletaknya Makam Raja Bilah. Opah Saadiah memberitahu saya bahawamakan Almarhum raja Billah terletak di atas sebuah bukit berhadapan dengan Mesjid Papan. Raja Bilah yang juga Penghulu Papan, telah mangkat pada tahun 1911. Warisnya menamakan Rumah Besar Moyang Raja Bilah, Penduduk di sekitar daerah Batu Gajah yang menggelarkannya sebagai Istana Raja Billah. Sebaik sahaja Raja Billah mangkat warisnya, Raja Shahbuddin bin Raja Billah tinggal menjaga Rumah Besar. Menurut Opah Saadiah sebenarnya Istana Raja Billah a.k.a Rumah Besar telahpun diperbaiki oleh pihak Muzium Negara beberapa tahun lalu. Pihak Muzium sepatutnya membekalkan almari pameran untuk mempamerkan barang-barang dan senjata-senjata lama supaya Istana ini dapat dibuka kepada pelawat. Tetapi hingga kini masalahnya almari pameran pula tiada dibekalkan kerana tiada peruntukan mengikut kata-kata dari Opah Saadiah yang menjaga Rumah tersebut dan ada juga barang-barang lama di Istana tersebut yang telahpun hilang.

Lelaki di gambar tersebut adalah Pak Ijam yang telah membawa saya menjelajah sekitar 
Pekan Papan dan Istana Raja Billah

Masjid Papan (Masjid Mendailing)


Masjid Papan dari arah pintu masuk istana

Tingkap masjid sepanjang masa sentiasa terbuka

Sudut hadapan masjid

Di dalam perkarangan Istana Raja Billah terdapat sebuah lagi bangunan lama yang telah berusia seabad dengan usia Istana Raja Billah, bangunan tersebut adalah 'Masjid Mendailing'. Ianya merupakan sebuah masjid yang dibina menggunakan kaedah lama seperti pahat dan tekap tanpa menggunakan sebarang paku untuk membinanya. Kedudukan masjid ini terletak dalam bentuk segitiga bersama dengan dua bangunan lain iaitu bangunan istana dan rumah waris yang kini menjadi penjaga kepada kawasan istana lama tersebut. Cuma bangunan istana didirikan diatas sebuah bukit bagi membolehkan pemiliknya meninjau dan melihat kawasan sekeliling di dalam dan di luar perkarangan istana khususnya di sekitar pekan lama Papan.

Papan tanda lama membuktikan bahawa tapak istana dan masjid ini
pernah dibaikpulih oleh pihak Jabatan Muzium Negara beberapa
tahun dahulu.

Pintu serambi masjid

Pintu masuk ke dewan solat masjid

Masjid ini pula kedudukannya agak ke kiri sedikit bertentangan dengan Istana Papan. Tiga binaan iaitu istana, masjid dan rumah lama ini seolah membentuk segitiga jika dilihat dari arah pandangan atas. Pengaruh Acheh jelas kelihatan pada rekabentuk hiasan puncaknya. Menurut jurupandu saya Pak Ijam, kawasan di sekitar masjid dan istana lama tersebut merupakan tempat beliau bermain sewaktu di zaman kanak-kanak. Dahulu di luar kawasan istana itu terdapat beberapa buah rumah-rumah tradisional melayu lama yang kini telah terbiar kerana telah ditinggalkan. Pak Ijam menambah bahawa pada masa dahulu semasa di zaman 1950, 1960 dan awal 1970-an masjid lama tersebut selalu digunakan untuk solat jumaat, kemudiannya masjid tersebut menjadi terbiar setelah penduduk-penduduk kampung bersebelahan kawasan istana tersebut berpindah ke bandar-bandar berhampiran seperti di Batu, Gajah, Siputeh, dan Ipoh. 

Bahagian ruangan solat utama masjid, dapat dilihat didalamnya
masih berkeadaan baik

Mimbar masjid yang masih berkeadaan baik dan kukuh

Pak Ijam menceritakan kepada saya bahawa di waktu zaman bapa dan datuknya dahulu seringkali diadakan majlis jamuan makan tengahari setelah selesai solat jumaat di balairong istana lama tersebut bagi meraihkan para jemaah yang datang ke masjid tersebut. Pak Ijam memberitahu bahawa dahulu kebanyakkan keluarga yang tinggal di kampung-kampung(kini menjadi kawasan hutan belukar) bersebelahan kawasan istana tersebut adalah terdiri dari masyarakat melayu suku Mendailing dari utara pulau Sumatera.

Pandangan sudut kiri Masjid Papan

Pandangan sudut kanan Masjid Papan 

Saya memohon kebenaran kepada Opah Saadiah untuk memasuki dan pada masa yang sama membersihkan sedikit ruangan solat di dalam Masjid Mendailing di istana itu dan Alhamdulillah Opah Saadiah tanpa bersoal dengan saya membuka pintu masuk masjid untuk saya dan Pak Ijam membersihkan sebahagian di dalam masjid tersebut disamping menunggu waktu untuk solat fardhu Zuhur. Di dalam masjid tersebut saya melihat kebanyakkan bahagian sepert mimbar, mihrab, beduk dan ruangan dalam dan luar masjid masih lagi kelihatan kukuh dan berkeadaan baik biarpun sudah berusia melebihi seratus tahun. Suhu di dalam masjid tersebut juga boleh dianggap sejuk kerana  terletak di kawasan yang begitu redup dan di kelilingi oleh pokok-pokok hutan yang rendang.

Keadaan di sekitar Istana

Untuk makluman semua, kawasan Istana Raja Billah ini menurut pandangan saya semasa kunjungan agak bersih. Kawasan ini dijaga oleh waris Raja Billah yang tinggal bertentangan dengan binaan istana dan masjid papan (kedudukan 3 binaan iaitu istana, masjid papan dan rumah lama seakan membentuk segitiga…saling berdekatan). Saya pernah difahamkan bahawa binaan istana lama ini telah dicadangkan untuk beralihfungsi menjadi sebuah muzium atau arkib. Namun saya tidak pasti adakah ianya hanya sekadar satu cadangan atau telah ianya telah mendapat kelulusan pihak yang diberi mandat. 

Namun di lubuk hati saya mendapati kawasan sekitar Istana kian terbiar. Cadangan dari pihak-pihak yang selama ini berjanji untuk memulihara dan menjaga khazanah ini kini hanya tinggak janji. Saya berasa Kasihan pada Opah Saadiah yg setia menemani bersama sepupunya Makcik Saariah biarpun umur mereka berdua sudah lanjut usia, namun demi menjaga amanah mereka tetap mengagahkan diri agar khazanah peninggalan Almarhum Raja Billah ini tetap utuh supaya dapat dirasai oleh seluruh cucu-cicit keturunan Raja Billah serta generasi muda amnya. Semoga Allah permudahkan urusan mereka dan membalas jasa mereka, Amin Ya Rabb...

Wednesday, October 9, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 2 - Pekan Papan)

Memang sudah lama saya berkira-kira untuk melihat sendiri keusangan pekan Papan. Semenjak pertama kali mendengar cerita berkenaan pekan ini, sebelum ini hati saya bagaikan melonjak-lonjak mahu menjejakinya. Akhirnya peluang untuk melihat sendiri pekan Papan ini termakbul juga dalam kembara saya pada cuti hujung minggu baru-baru ini.    

Di Sepanjang Perjalanan 

Saya memulakan perjalanan dari pekan Simpang Pulai menuju ke bandar lama Batu Gajah untuk bertemu dengan seorang lelaki yang merupakan penduduk asal di kampung bersebelahan dengan pekan Papan(kini kampung tersebut telah tiada lagi), namanya Ahmad Nizam Hamid atau mesra dipanggil sebagai Pak Ijam, umurnya sudah memasuki separuh abad tetapi ingatan beliau terhadap pekan Papan masih jelas kerana disitulah tempat kelahirannya. Dengan bantuan Pak Ijam beliau membawa saya menaiki keretanya menuju ke pekan Papan melalui jalan lama melalui bandar lama Batu Gajah namun begitu sebelum tiba di destinasi yang dituju Pak Ijam sempat membawa saya melihat bangunan stesen keretapi lama Batu Gajah yang kini tidak lagi digunakan. Stesen keretapi Batu Gajah telah dipindahkan di kawasan berhampiran dengan Bemban berdekatan dengan kawasan perindustrian Batu Gajah di sana.

Stesen keretapi lama di Batu Gajah yang tidak lagi digunakan

Papan tanda di bahu jalan mengarah ke Papan, disini juga saya sudah mula tergambar keusangan pekan tersebut

Balai Polis Pusing yang masih lagi beroperasi hingga kini

Kemudiannya saya dan Pak Ijam meneruskan perjalanan menuju ke Pekan Papan melalui jalan yang sama. Apa yang terdetik di fikiran saya ialah sudah pasti usia diantara bandar Batu Gajah dan pekan Papan adalah mungkin sama cuma bandar Batu Gajah nasibnya lebih baik kerana terletak di laluan diantara Bandar Gopeng dengan Ipoh serta terdapat stesen keretapi dan laluan sungai. Berbanding dengan pekan Papan yang saya fikir begitu tersorok dan jarak diantara kedua-dua pekan ini boleh dikatakan begitu jauh. Perjalanan ke Papan mengambil masa lebih kurang 20 minit dengan menaiki kenderaan. Untuk sampai ke pekan Papan kita akan melalui pekan lama Pusing, disitu masih lagi berdiri kukuh bangunan rumah-rumah kedai lama yang masih lagi beroperasi walaupun ada sesetengahnya sudah tidak digunakan lagi. Terdapat simpang tiga di pekan lama Pusing untuk menuju ke pekan Papan, di simpang tiga tersebut terdapat sebuah balai polis yang sudah kelihatan begitu lama tetapi masih lagi 'berbakti' kepada penduduk di sekitar pekan lama tersebut. Pak Ijam yang menjadi 'pemandu pelancong' saya memberitahu yang sewaktu zaman darurat dahulu perkarangan balai polis tersebut pernah menjadi markas operasi bagi tentera-tentera dari negara-negara komanwel yang dikerah untuk menumpaskan kegiatan gerila-gerila Parti Komunis Malaya(PKM) yang dipercayai mempunyai markas mereka disekitar hutan-hutan tebal di pinggir Batu Gajah ini. 

Betapa sunyinya jalan utama menuju ke pekan Papan

Sebaik saja melepasi balai polis tersebut kereta yang dibawa Pak Ijam yang saya naiki melalui sebatang jalan yang boleh dikatakan agak sunyi dari bukan saja dilalui oleh kereta atau motor malah pejalan kaki, apa yang saya lihat di sepanjang jalan tersebut terdapat beberapa ekor anjing-anjing liar yang berkeliaran di jalan menuju ke pekan Papan. Terdetik di hati saya seandainya saya berseorangan ditambah dengan tidak menaiki apa kenderaan untuk keasana sudah pasti saya akan diserang atau paling kurang pun dikejar oleh anjing-anjing liar tersebut. Apa yang saya amati ketika menghampiri pekan Papan saya dapati terdapat beberapa buah kawasan perkuburan cina di jalan masuk ke pekan tersebut, cuma terdapat sebuah perkampungan cina yang tertera di pintu masuk kampung tersebut 'Kampong Papan Bharu'. Saya mengandaikan yang kawasan kampung tersebut telah diwujudkan semenjak zaman darurat lagi oleh pihak British bagi menggelakkan para penduduk yang majoritinya berbangsa cina terpengaruh dan membantu perjuangan gerila-gerila PKM pada zaman tersebut. Dari maklumat yang perolehi dari Pak Ijam yang kampung tersebut mula didirikan pada awal tahun 1950-an. Dan asalnya kampung tersebut berpagar dengan kawat duri dan dijaga oleh pengawal bersenjata(Home Guard) bagi mengelakkn pasukan gerila masuk ke kampung tersebut. 

Memasuki Pekan Papan 


Selamat datang ke 'Ghost Town'

Lama dan tidak lagi berpenghuni

Rumah kedai lama yang masih lagi berdiri kukuh.

Tiba saja di pekan Papan sudah jelas di hadapan mata dan kepala saya betapa usangnya pekan yang bersejarah ini. malah bukan saya saja Pak Ijam yang merupakan orang yang lama menetap di sekitar Batu Gajah itu juga berkongsikan rasa kehairanan mengapa pekan ini terhadap pekan ini. Beliau berpandapat kedudukan pekan ini yang terletak ditengah-tengah laluan diantara Ipoh dengan Batu Batu Gajah sepatutnya hidup dan sibuk dengan aktiviti ekonomi masyarakat setempat. Namun sebaliknya berlaku, pekan ini kelihatan mati dan seolah-olah seperti sudah 'dibom'. Ada juga orang-orang Perak menggelarkannya sebagai 'The Ghost Town' kerana keusangan kebanyakkan bangunan rumah-rumah kedai yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak diduduki malah ada yang kelihatan sudah menyembah bumi. Terdapat juga bilangan rumah-rumah kedai yang masih digunakan bagaikan boleh dikira dengan jari dan majoriti penduduknya terdiri dari warga emas berbangsa cina. 


Sejarah Pekan Papan 

Mengikut sejarahnya pekan ini mula wujud akibat dari ledakan perkembangan aktiviti melombong bijih timah di lembah Kinta suatu ketika dahulu. Jadi tidak hairanlah jika majoriti penduduk Papan terdiri dari orang Cina. Namun demikian sesuatu yang pasti asalnya pekan Papan ini dibuka oleh orang Melayu. Sejarah membuktikan bahawa lombong-lombong bijih timah di Papan ini asalnya adalah milik bekas sultan Perak ke-25 iaitu Almarhum Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah. Setelah pecahnya perang Perak, lombong-lombong bijih timah milik baginda telah diserahkan oleh pihak British kepada Raja Asal dan seterusnya kepada anak saudaranya Raja Bilah. 

Selain itu Raja Bilah pernah pengusahakan lombong bijih timah di pekan Papan. Sungai Johan, Sungai Kinta dan Sungai Raya merupakan lokasi penting perlombongan bijih timah ketika itu. Antara kaedah perlombongan ketika itu ialah meludang, melereh, mencabik dan menabok. Kemudian Raja Bilah membeli sebuah enjin pam dari England. Kemudian enjin kedua dibeli dari Uganda. Lombong bijih timah di Papan asalnya dipunyai oleh Sultan Ismail, Perak. Apabila Perang Perak meletus pada tahun 1975 berikutan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, J.W.W. Birch oleh Dato' Maharajalela dan Sipuntum pada Hari Raya Aidilfitri 2 November 1875, Sir Frank Swettenham yang memangku jawatan Residen British menggantikan J.W.W. Birch(Seterusnya beliau dilantik oleh Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura menjadi Residen di Selangor pada 1876) telah menyerahkan lombong ini kepada Raja Asal. Raja Asal berasal dari Sumatera Barat dan bapa saudara kepada Raja Billah . 

Akhirnya lombong-lombong ini diserahkan kepada Raja Billah Pada tahun 1887 telah berlaku satu rusuhan yang dicetuskan oleh para pelombon-pelombong bijih timah di sekitar pekan Papan, hingga mengakibatkan kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda di pekan ini. Pasukan polis negeri telah dikerahkan untuk mengawal dan mententeramkan keadaan, situasi tersebut mendorong Raja Billah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku diantara para pelombong bijih timah yang kebanyakkannya berbangsa cina dengan pihak penjajah British. Berikutan dengan kejayaan Raja Billah menyelesaikan konflik yang berlaku telah membawa kepada perlantikan Raja Billah sebagai Penghulu Pekan Papan oleh Residen British, Sir Hugh Low pada tahun 1888. Raja Billah menjawat jawatan tersebut hingga beliau mangkat pada tahun 1910. 

Dr. Sybil Karthigesu 

Pekan papan juga mempunyai kaitan dengan sejarah pra-kemerdekaan negara kerana di pekan inilah terpahat nama seorang wirawati bernama Dr. Sybil Karthigasu, seorang doktor(asalnya seorang jururawat) yang telah membantu pihak Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun(MPAJA) dalam usaha menentang pendudukan tentera Jepun di sekitar pekan ini. Beliau telah membantu pihak MPAJA dan penduduk setempat ketika itu dengan menyebarkan maklumat-maklumat melalui radio yang disimpan di rumahnya bagi menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai perkembangan pertempuran yang berlaku diluar Malaya diantara pihak tentera Jepun dengan pihak tentera bersekutu. Tindakannya itu di dapat dihidu oleh pihak tentera Jepun dan akhirnya beliau ditangkap dan disiksa selama lebih 2 tahun. Turut disiksa ialah suami dan anak perempuannya, selepas sahaja Jepun menyerah kalah Dr. Sybil telah dibawa ke Britain untuk dirawat disana. Pada tahun 1947, Dr. Sybil telah dianugerahkan 'George Medal' oleh Raja Britain, King George VI di Buckingham Palace, London. 

Rumah milik saudara Poon Chee Sung ini asalnya adalah rumah dan klinik Dr. Sybil Karthigasu

Kesan daripada penyeksaan yang terlampau teruk yang dialami oleh beliau semasa dalam tahanan tentera Jepun telah menyebabkan beliau menderita sakit dan seterusnya meninggal dunia di London pada tahun 1948. Jenazah beliau telah disemadikan di Ipoh. Saya tidak berkesempatan untuk melawat klinik Dr. Sybil yang terletak di sepanjang deretan utama bangunan rumah kedai di pekan Papan. Ini kerana bangunan klinik tersebut sedang dalam kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian untuk dijadikan muzium. Namun saya sempat bertemu dengan penjaga klinik tersebut, Saudara Low Siak Hong yang juga merupakan kurator bagi projek muzium Dr. Sybil yang dikendalikan oleh beliau. Menurutnya, keadaan bangunan yang amat usang memaksa pihaknya membuat penambahbaikan hingga memaksa pihaknya menutup muzium klinik Dr. Sybil. Walaubagaimanapun muzium tersebut akan mula dibuka pada awal tahun hadapan. Untuk makluman sebatang jalan di Ipoh dinamakan 'Jalan Sybil Karthigesu' bersemperna mengabadikan nama beliau.


Mengenai Pekan Papan 

Pekan ini dihuni oleh lebih kurang 100 orang penduduk. Ia didominasi oleh kaum Cina dan pekannya tidak boleh dipanggil pekan pun kerana ia sangat kecil. Walaupun begitu, pada masa dahulu ia pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah yang paling banyak di dunia. Sekarang pekan ini sangat sepi dan ketika saya hadir bersama Pak Ijam, orang-orang di sini memandang kearah kami berdua dan itu menandakan bahawa penduduk disini begitu jarang menerima kehadiran tetamu luar yang berkunjung ke pekan lama ini. Apa yang saya saksikan bangunan-bangunan lama di sini juga suram dan sayu seakan-akan meratapi nasibnya yang dipinggirkan. Saya menyarankan kepada pencinta sejarah supaya datanglah melawat ke pekan lama ini dan berilah sokongan moral kepada penduduk-penduduk asal disini agar bangunan-bangunan lama yang masih lagi berdiri disini sebelum ia hilang buat selama-lamanya. Berterima kasihlah kepada pekan ini di atas sumbangan besar bijih timah yang memungkinkan wujudnya Bandaraya Ipoh seperti yang kita lihat pada masa kini. 

Antara beberapa ramah kedai yang lagi berpenghuni namun kebanyakkan adalah dari warga emas

Untuk pengetahuan pembaca Pengarah filem terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad sering menggunakan pekan ini di dalam filem-filemnya kerana pekan ini mempunyai banyak bangunan-bangunan bercorak 1950-an. Seperti yang saya katakan tadi, oleh kerana bijih timah ialah industri yang pesat di sini sekitar tahun-tahun itu, pekan-pekan ini terbina dengan maju sekali beserta dengan kemudahan prasarana yang lengkap pada masa itu. Hari ini, bangunan-bangunan ini masih berdiri teguh tetapi agak kusam dan tidak bermaya. Deretan rumah-rumah kedai dan bangunan istana berhampiran pernah menjadi lokasi pengambaraan bagi filem 'Anna and the king', lakonan Jodie Foster dan Chow Yun Fatt. 

Tumpuan saya terarah kepada rumah lama ini

Latar belakang pekan ini yang dilihat begitu menepati ciri-ciri suasana abad ke-19 menjadikan pekan ini menjadi set pengambaraan yang utama dalam filem tersebut. Saya diberitahu oleh beberapa orang penduduk disini bahawa produksi filem Hollywood yang membuat kerja-kerja pengambaraan disini telah membelanjakan beberapa juta ringgit untuk kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan bangunan-bangunan lama di pekan ini agar sesuai digunakan untuk pembikinan filem tersebut. 

Rumah ini dahulunya milik seorang pengusaha lombong bijih timah di kawasan ini tetapi telah ditinggalkan sejak lebih 30 tahun yang lalu

Maklumat yang saya perolehi dari seorang penduduk di pekan ini memberitahu pada tahun 1984, para penduduk di pekan ini pernah melakukan beberapa siri tunjuk perasaan bagi mendesak kerajaan negeri Perak ketika itu untuk menghentikan projek penempatan sisa radioaktif di Bukit Merah, Kinta yang berdekatan tidak jauh dari pekan ini. Menurutnya kesan dari kegiatan tersebut menjadi penyumbang kepada kemerosotan aktiviti ekonomi dan sosial di sekitar pekan lama ini. Walaupun aktiviti tersebut telah lama dihentikan kesan sisa radioaktif nadir bumi masih dapat dirasai dikawasan-kawasan berhampiran dengan Bukit Merah termasuklah di pekan Papan. 

Di Akhir Catitan 

Pemandangan pekan Papan dari lokasi bukit di sebuah istana lama

Hari ini pekan legenda ini tidak sehebat zaman kegemilangannya dahulu. Jika silap percaturan oleh Kerajaan Negeri, pekan ini akan luput dari peta Negeri Perak kerana terdapat cadangan untuk melombong bijih timah yang masih ada secara besar-besaran di sini. Sekiranya perancangan ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, semua bangunan-bangunan di sini akan diruntuhkan sehingga menjadi kolam besar lombong bijih seperti yang kita lihat di tempat lain.

* Bahagian seterusnya saya akan memaparkan tentang keunikan dan kisah disebalik sebuah istana lama yang dikenali sebagai 'Istana Raja Billah' yang juga terletak di pekan Papan.

Tuesday, October 8, 2013

Pengembaraan di Lembah Kinta (Bahagian 1)

Baru-baru ini saya telah melakukan satu ekspedisi pengembaraan dalam usaha untuk menyelusuri tinggalan-tinggalan sejarah yang terdapat di sekitar negeri Perak Darul Ridzuan. Beberapa hari sebelum memulakan pengembaraan tersebut saya telah melakukan beberapa 'homework' untuk mengetahui sedikit-sebanyak maklumat mengenai tempat-tempat yang ingin saya jejaki. Saya juga berusaha mendapatkan bantuan dari rakan-rakan yang tahu mengenai tempat-tempat tersebut serta mendapatkan maklumat dari rakan-rakan di laman-laman sosial seperti di Facebook, Twitter dan sebagainya khususnya dari pihak Malaysian Backpackers Club(MCB). Pihak MCB telah banyak membantu saya dalam memberikan khidmat nbasihat seperti anggaran kos, panduan perjalanan, tempat penginapan dan lain-lain lagi. Oleh itu persediaan dalam melakukan ekskavasi ini begitu penting jika tidak pasti kita akan 'tenggelam punca' sekiranya berlaku apa-apa masalah di sepanjang pengembaraan ini.


Perjalanan saya bermula dengan menaiki perkhidmatan keretapi ekspress 'Senandung Langkawi' dari Terminal KL Sentral menuju ke Stesen Kampar, Perak. Perjalanan menaiki keretapi mengambil masa selama lebih 2 jam. Namun terdapat beberapa masalah yang timbul akibat dari kerosakan pada enjin diesel di bahagian lokomotif menyebabkan semua penumpang yang berada di dalam tren terpaksa menunggu selama lebih 1 jam setengah di Stesen Tanjung Malim. Namun begitu tren kembali bergerak seperti biasa setelah ianya diperbaiki. Akhirnya saya tiba di Stesen Kampar pada jam 0255. Seterusnya saya meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Gopeng dengan menumpang sebuah lori pembancuh simen. Pemandu lori tersebut membenarkan saya tidur di lorinya tetapi mata saya masih belum dapat terlelap kerana saya telah tidur semasa di dalam tren menuju ke Kampar sebelum itu.


Sebaik saja sampai ke Gopeng pada waktu menjelang subuh saya meneruskan perjalanan untuk mencari masjid atau surau yang terdekat dan Alhamdulillah pencarian saya berjaya. Saya singgah seketika di Masjid Jamek Lama Gopeng yang terletak di jalan utama menghubungkan Kampar-Gopeng dan Batu Gajah seterusnya ke Ipoh. Hinggalah selepas masuk waktu syuruk dan setelah selesai mengerjakan solat sunat dhuha saya meneruskan perjalanan ke Simpang Pulai. Sebaik saja tiba di pekan Simpang Pulai saya berhanti seketika untuk menikmati sarapan pagi di sebuah gerai makan yang terdekat. Selesai saja bersarapan saya terus menaiki teksi di sebuah hentian di pekan tersebut menuju ke pekan Batu Gajah lama kerana saya ingin bertemu dengan seseorang yang telah berjanji dengan saya untuk membawakan saya berkunjung ke pekan Papan yang mana pekan tersebut dianggap sebagai sebuah pekan yang 'berhantu' hanya kerana ianya telah ditinggalkan dan sudah dimamah usia.


Catatan mengenai kunjungan saya di pekan Papan akan saya terangkan dengan lebih mendalam di artikel saya yang seterusnya.